PENULARAN Penyakit Kulit Kental (LSD) dikesan menyerang ternakan lembu dan kerbau di Simpang Pulai, Perak.

Ladang itu kini di bawah kawalan rapi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Sinar Harian melaporkan, Exco Perladangan, Pertanian Dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria berkata, JPV turut memantau semua ladang ternakan yang terdapat di Perak.

Beliau menegaskan, tiada pengeluaran daging haiwan berkenaan ke pasaran sekitar.

Tambahnya, tindakan undang-undang akan diambil kepada pengusaha yang tidak bertanggungjawab menjual daging lembu ini.

Selain Itu, orang ramai juga diminta tidak panik dengan situasi tersebut kerana pihak JPV mengesahkan bahawa penyakit itu tidak menjangkiti manusia.

Penularan dilaporkan berlaku di beberapa negara Asia lain seperti Thailand, Vietnam dan sebagainya namun baru dikesan di negara ini.

Dalam perkembangan berasingan, Razman mengakui berlaku lambakan hasil pertanian di Perak seperti cili, timun, jagung, pisang dan sebagainya.

Justeru itu, kerajaan negeri harus dengan segera mengambil tindakan agar dapat memastikan tiada lambakan hasil pertanian berlaku.